|
   
- Thread
- 13818
- Credits
- 22938
|
sambung....
Kenapa golongan remaja?
UNGKU AZIZ: Kalau kita mahu membina personaliti unggul kita harus melihat kepada remaja. Kalau hendak melentur buluh biarlah daripada rebung. Masa depan itu ada di tangan mereka. Ini bukan satu pandangan yang klise tetapi ini realiti. Gambaran masa depan kita ialah bagaimana keadaan remaja pada hari ini.
Tidak ada orang yang dewasa tanpa melalui zaman remaja. Orang banyak terlupa tentang hakikat ini. Kita tidak ada pilihan sebenarnya - bagaimana keadaan kita pada hari ini begitulah keadaannya pada masa depan.
Bagaimana Pak Ungku melihat remaja hari ini?
UNGKU AZIZ: Kita jangan terlalu cepat menyalahkan remaja, mengatakan mereka hanya suka melepak, pemalas dan banyak angan-angan. Kita sepatutnya cuba memeriksa bagaimanakah keadaannya menjadi remaja pada zaman ini, pada tahun 2005 ini.
Ini topik kegemaran saya sejak kebelakangan ini. Saya sebenarnya banyak memikirkan hal ini: Bagaimanakah kita boleh memahami masalah utama remaja Melayu pada hari ini? Ada banyak masalah, dan masalahnya pelbagai.
Tetapi pada umumnya saya rasa remaja hari ini mengalami krisis jati diri. Mereka tidak dapat menjawab dengan tegas soalan yang ditanya oleh (ahli falsafah) Socrates: ``Siapakah aku?''
Kepada saya, setiap remaja sepatutnya selalu bertanyakan soalan itu kepada diri sendiri, dan harus ada jawapan yang memuaskan hati.
Kenapa soalan itu?
UNGKU AZIZ: Hidup ini bukanlah seperti lagu Que Sera, Sera - apa hendak jadi biarlah terjadi. Masa depan itu terpulang kepada kita sendiri. Ini berbalik kepada falsafah Za'ba bahawa perangai bergantung kepada diri sendiri.
Apakah krisis identiti yang dihadapi oleh remaja Melayu?
UNGKU AZIZ: Remaja pada umumnya tidak dapat mengenal jati dirinya sendiri. Kenapa jadi begini? Ini teori saya; kalau salah, salahlah saya. Saya bertanggungjawab sepenuhnya.
Saya rasa orang yang hendak mencari jati diri mesti boleh bertanya dan menjawab soalan Socrates itu. Tetapi mereka pada hari ini sukar hendak menjawab soalan itu kerana disimbah dengan pelbagai jenis identiti gantian. Inilah masalahnya.
Saya minta maaf kerana terpaksa menyebut siapa yang bertanggungjawab besar dalam perkara ini... (ketawa)
Media, maksudnya?
UNGKU AZIZ: (Ketawa) Inilah masalah yang paling besar. Media membentuk identiti dan jati diri mereka kerana medialah yang mewujudkan, membentuk dan membina celebrity.
Orang tertarik kepada celebrity dan kemudian meresap masuk ke dalam identiti yang dibina itu. Lihat saja identiti celebrity yang dibentuk oleh media, baik melalui iklan atau penyanyi, orang paling kuat, paling lemah, paling kacak dan sebagainya.
Minda remaja ini diserang seperti dihujani peluru dengan pelbagai jenis identiti kecil daripada para celebrity ini. Akibatnya mereka tidak dapat membuat pilihan. Mereka tidak dapat memastikan dengan tegas dan yakin tokoh yang harus mereka ikuti.
Media ini pula datang dalam pelbagai bentuk - cetak dan elektronik atau maya. Media maya ini paling efisien dan berkesan, paling merosakkan berbanding yang lain. Orang terbuai dengan media sama seperti tikus-tikus dalam cerita Pemain Seruling dari Hamlin.
Inilah yang berlaku sekarang. Pemain seruling itu sekarang ialah media. Orang yang menguasai media memanipulasikan keadaan dengan membina celebrity. Celebrity itu sekarang menjadi model kecil kepada remaja sehingga mereka merasakan ``kalau dapat jadi seperti itu, cukuplah.''
Kepada golongan remaja, konsep keunggulan itu merujuk kepada model celebrity yang dilihatnya melalui media. Tetapi pada masa yang sama mereka sendiri barangkali cukup insaf bahawa mereka mungkin tidak dapat jadi seperti itu.
Insaf, kenapa?
UNGKU AZIZ: Kita lihat iklan katakanlah hendak menjual rokok, misalnya. Jadi ditunjukkan lelaki pakai tali leher dan sut turun dari kereta mewah masuk ke hotel dan ada perempuan cantik menunggunya. Dia kemudian menghisap rokok jenama yang diiklankan itu.
Remaja yang melihat iklan ini tadi cuma tinggal hisap rokok saja. Dia tidak dapat apa-apa, tidak ada kereta mewah, tidak ada perempuan cantik dan tidak ada tali leher. Ini satu tragedi. Kita umpan remaja yang mencari model dengan gambaran imej seperti itu. Imej itu bukan realiti, dan ia mengelirukan remaja yang masih mencari-cari identiti.
Mereka tidak dapat menangkap makna identiti dan jati diri. Jati dirinya lemah kerana ia dibentuk daripada imej-imej yang bukan realiti. Remaja tertawan kepada imej-imej itu kerana ia membuatkan mereka rasa seronok dan menarik. Tetapi semuanya hanya angan-angan. Ini sama seperti cerita usahawan yang berangan-angan macam Mat Jenin - suatu hari nanti mahu ada pejabat, ada setiausaha cantik dan sebagainya.
Apa salahnya berangan-angan?
UNGKU AZIZ: Angan-angan ini memuaskan diri dalam jangka masa pendek tetapi kalau terlalu berangan-angan mereka boleh terjerumus terlibat dengan dadah. Statistik menunjukkan majoriti yang terlibat dengan dadah ialah Melayu. Tidak cukup dengan fantasi di rumah mereka berkhayal melalui dadah. Saya tahu tidak semua remaja terlibat tetapi sebahagian besarnya ialah mereka yang berangan-angan ini.
Saya fikir nisbah lelaki yang hidup dalam angan-angan jauh lebih besar berbanding wanita, boleh dikatakan dua pertiga. Majoriti remaja wanita lebih stabil, kurang angan-angan dan ada imej yang jelas tentang matlamat hidup masa depan. Itu sebabnya sekitar 70 peratus pelajar di universiti hari ini ialah wanita. Ini bukti bahawa jati diri gantian ini mempengaruhi lebih ramai lelaki berbanding wanita.
Malah kalau kita kaji, remaja lelaki Melayu jugalah yang paling banyak di pusat permainan video. Remaja wanita tidak banyak yang bermain permainan video kerana mereka realist. Mereka ada cita-cita dan mahukan kebebasan. Mereka tahu kalau ada kerja, mereka ada kebebasan. Cita-cita mereka realistik.
Krisis identiti ini lebih bahaya di kalangan lelaki berbanding wanita. Kalau kita hendak membina Melayu yang unggul kita perlu mengukuhkan jati diri terutamanya di kalangan remaja lelaki. Kita harus ada keseimbangan kuasa dalam masyarakat antara lelaki dan wanita.
Bagaimana hendak membentuk jati diri yang betul di kalangan remaja?
UNGKU AZIZ: Kita mesti berbalik kepada pendidikan kerana ia menentukan masa depan. Kalau tidak rajin belajar, mereka akan banyak berpoya-poya, hidup berangan-angan dan duduk melepak. Ini semua fenomena sosial yang melemahkan remaja Melayu. Kita perlu mengubahnya dengan segera tetapi ia tidak mudah.
Kita juga harus menanam hidup yang lebih berdisiplin. Kenapa misalnya di Jepun dan Switzerland, orang tahu berbaris tetapi di sini semua orang berebut-rebut hendak ke depan? Tidak ada disiplin sosial.
Kita juga harus menanam sifat jujur dan amanah. Kalau jumpa dompet di tengah jalan kita pulangkan. Tetapi dalam masyarakat kita orang yang buat begitu adalah golongan yang terkecuali. Ia tidak normal, dan apabila berlaku ia jadi bahan berita. Malah orang merasakan kalau jumpa dompet di tengah jalan itu rezeki. Konsep rezekinya pun sudah salah.
Kesedaran tentang nilai-nilai murni ini mesti dibina dari awal. Pada fikiran saya, pergerakan pengakap di sekolah dulu boleh menanam nilai-nilai ini. Sekarang ia sudah dipolitikkan.
Apa lagi yang perlu kita tanam kepada remaja?
UNGKU AZIZ: Sifat kesetiaan dan patriotisme. Kepada saya, remaja yang dipanggil tetapi tidak pergi ke Program Latihan Khidmat Negara itu dalam jati dirinya tidak ada nilai patriotisme. Kita tidak boleh melihatnya sebagai hero. Kalau patriotik, apabila dipanggil dia mesti pergi. Itu satu tanggungjawab.
Remaja juga harus berani buat apa saja, bersedia pada bila-bila masa. Ini sifat yang kepada saya harus ada tidak kira pada semua orang yang mahu berjaya. Kalau hendak membina remaja yang unggul apabila dewasa kita kena pastikan mereka ada nilai-nilai ini - berdisiplin, berani, jujur, amanah dan patriotisme. Ini boleh kita buat melalui pendidikan tetapi kena fokus.
Apakah kita perlu mengetengahkan model-model baru kepada remaja?
UNGKU AZIZ: Barangkali model itu ada tetapi kita simpan dalam almari (ketawa). Kita kena keluarkannya dari almari dan gilap sedikit. Kalau kita melihat tempoh 100 tahun yang lalu, saya fikir model itu banyak.
Malah dalam sejarah juga ada tokoh-tokoh yang boleh dijadikan model, Hang Tuah misalnya. Dia mungkin tidak pernah wujud tetapi sifat-sifatnya boleh kita baca dalam Hikayat Hang Tuah. Dia perkasa, suka menuntut ilmu dan belajar banyak bahasa. Dia juga setia; baik atau buruk kesetiaannya itu, usah ditanya.
Sifat-sifat terpuji daripada model-model inilah yang akan membina realiti, melahirkan remaja yang akan jadi pemimpin masa depan yang memberikan harapan kepada bangsa. Kita tidak akan melahirkan manusia unggul dengan bercakap-cakap saja.
Apakah yang tidak harus ada pada orang Melayu untuk menjadi unggul?
UNGKU AZIZ: Harus tahu membezakan antara realiti dan fantasi. Orang muda hari ini lebih cenderung kepada angan-angan kerana pengaruh media yang saya sebutkan tadi, terutamanya media elektronik.
Usaha ini banyak bergantung kepada media?
UNGKU AZIZ: Ya, kerana media ada hubungan langsung dengan kelompok ini. Pada masa yang sama perlu juga ada peranan ibu bapa dan guru. Semua pihak bertanggungjawab. Kita tidak boleh sapu rata salahkan media saja - kononnya kalau baik media, semuanya akan baik. Tidak begitu. Para pemimpin juga ada peranannya. Suka atau tidak suka, mereka adalah model yang unggul; seharusnya begitulah.
Kalau orang mahu berjaya mereka harus membetulkan diri sendiri. Jangan jadi seperti Enron dan WorldCom yang melahirkan tokoh-tokoh korporat berjaya tetapi mengerjakan duit orang beratus bilion. Itu bukan model yang baik. |
-
1
Rate Count
-
|
segala yang dihasrat tapi tak didapat adalah nikmat yang paling padat
|
|